Jumat, 14 Februari 2014

Bomba Sukarela Juga Dilindungi Insurans


KUALA TERENGGANU – Perlindungan insurans berkelompok yang diperkenalkan untuk badan beruniform sejak 1 Jun lalu turut meliputi pasukan bomba sukarela, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Katanya skim itu memberi perlindungan sehingga RM18,000 kepada anggota bomba di negara ini termasuk anggota sukarela.

Pada masa ini terdapat 26,000 anggota bomba termasuk kira-kira 13,000 anggota sukarela, katanya dalam sidang media selepas penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan penyampaian sijil perkhidmatan terpuji jabatan itu, di sini hari ini.

Dalam majlis itu Wan Mohd Nor turut menyerahkan pampasan RM16,000 kepada Napisah Deraman, balu Jabri Awang, seorang pegawai kanan bomba yang meninggal dunia akibat masalah jantung pada 12 September lepas.

Napisah, 40, berkata wang pampasan itu akan dimanfaatkan untuk membesarkan empat anak mereka yang berusia antara lapan dan 14 tahun.

Arwah suami berkhidmat dengan bomba selama 19 tahun dan bertugas di balai bomba di Dungun sebelum meninggal dunia, katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Mengenai persiapan banjir tahun ini, Wan Mohd Nor berkata semua aset dan logistik jabatan itu berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan.

“Bagi tujuan penyelamat kita telah menyediakan 500 buah bot dan tujuh buah helikopter termasuk di Sabah dan Sarawak, sedia digerakkan bila diperlukan kelak.

“Helikopter itu akan digunakan untuk operasi menyelamat dan menghantar bekalan makanan jika terdapat kawasan yang terputus hubungan,” katanya.

Beliau berkata walaupun setakat ini pihaknya belum membekukan cuti anggota bomba, mereka sudah diarah agar berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kami juga akan menggerakkan anggota sukarela bagi membantu, katanya. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. Asdaq Blog - Posts · Comments
Powered by Blogger