Sabtu, 01 Maret 2014

Hukuman Mati Terhadap Pembunuh Warga Emas


GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas pengawal keselamatan selepas didapati bersalah membunuh warga emas berumur 76 tahun, di sebuah rumah kedai di Jalan Gurdwara, di sini tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi Mohd Azam Raja Abdullah, 42

Mohd Azam dituduh membunuh Soh Lian Thye selepas memecah masuk rumah kedai berkenaan dan mencuri tiga barang kemas bernilai anggaran RM100 hingga RM200, antara pukul 5 pagi dan 9 pagi, 2 Mac 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tahun lepas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 16 sebatan terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memecah masuk rumah kedai berkenaan dan mencuri.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan asal iaitu membunuh.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah gagal memberi penjelasan munasabah selain pembelaannya tidak konsisten dengan kecederaan yang dialami mangsa.

“Keterangan tertuduh mengatakan dia memukul si mati hanya satu kali tidak konsisten dengan kecederaan yang dialami oleh si mati. Keterangan Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh membutirkan si mati mengalami kecederaan kepala yang parah akibat dipukul dengan objek tumpul dan peluang untuk hidup adalah minimum.

“Kecederaan yang dialami si mati menunjukkan daya pukul tertuduh lebih daripada satu pukulan…dipukul dengan sengaja sehingga menyebabkan kematian. Sedangkan sebelum ini tertuduh mengatakan dia tiada niat untuk membunuh si mati dan dia boleh melarikan diri tanpa memukul kepala si mati,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamzah Othman manakala Mohd Azam diwakili peguam P. Latsmanan dan K. Thangesvaran.

Sementara itu, ibu tertuduh yang turut mengikuti prosiding terbabit dilihat menitiskan air mata sejurus hukuman terhadap Mohd Azam diputuskan. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. Asdaq Blog - Posts · Comments
Powered by Blogger