Datuk Lee Chong Wei akan disambut sebagai wira negara sekembalinya ke tanahair hari ini walaupun gagal meraih pingat emas dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik semalam.
  
NONETimbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim (kanan) berkata Chong Wei telah menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi ketika bertarung menentang musuh ketatnya, Lin Dan.
  
"Dia menunjukkan kesungguhan dalam usaha memenangi pingat emas di temasya terunggul itu. Inilah yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan antara kedua-dua jaguh dunia itu di kediamannya di Seri Menanti di Muar malam tadi.
  
Katanya, semua pihak harus akur dalam sukan ada pihak yang menang dan ada yang kalah.
  
Chong Wei tewas kepada Lin Dan dengan keputusan 21-15, 10-21 dan 19-21.
  
Razali mengucapkan tahniah kepada Chong Wei kerana berjaya menyumbang pingat perak untuk Malaysia.
  
- Bernama